PAPAR: Pasukan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah telah menahan tiga lelaki warga tempatan yang berumur diantara 20-an hingga 30-an kerana terlibat kes dadah di kawasan Kampung Tengah, Kinarut dan Kampung Beringgis, Papar, semalam.
Menurut laporan, suspek pertama ditahan semasa pemeriksaan dilakukan di jalan Kampung Tengah, Kinarut di mana pihak polis telah menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran seberat 5.88 gram.
Penahanan kedua suspek lagi berlaku apabila pemeriksaan dijalankan di jalan Kampung Beringgis, di mana pihak polis telah menemukan satu tibu straw mengandungi ketulan hablur yang juga disyaki dadah jenis Syabu seberat 0.21 gram.
Susulan itu, ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek telah mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Amphetamines.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952, dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hukuman jika sabit kesalahan memiliki dadah dibawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh di penjara tidak lebih 5 tahun dan tidak kurang 3 sebatan dan tidak lebih 9 sebatan, manakala bagi kesalahan memiliki dadah dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh didenda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun, dan kesalahan dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dikenakan denda tidak lebih RM 5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun dan pengawasan 2 tahun.