BEAUFORT –Pasukan polis daerah Beaufort berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berbangsa murut atas kesalahan menagih dadah di kawasan Skim Limbawang, sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Operasi serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dadah (BSJN) yang diketuai oleh Inspektor Ariff terhadap sebuah rumah tidak bernombor di Kg Skim Limbawang, berjaya menahan lelaki berusia 36 tahun terbabit.
Hasil daripada siasatan lanjut ke atas suspek, pasukan polis berjaya membongkar maklumat penting berkait tempat penyimpanan barangan kes iaitu di dalam kereta yang digunakan oleh suspek.

“Barang kes yang dirampas merupakan 2 paket plastik lutsinar yang mengandungi 24 paket plastik berisi serbuk dan ketulan hablur jernih yang disyaki merupakan dadah jenis Syabu. Anggaran berat dadah yang dirampas adalah seberat 6.69 gram”
Susulan itu, ujian saringan air kencing yang dilakukan mengesahkan suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Suspek berumur 36 tahun itu akan ditahan manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.


