Semporna: Sebuah bot yang dinaiki oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir ketika cuba menceroboh masuk perairan negara, berhampiran perairan Laut Alice Channel, awal pagi tadi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna, berkata kejadian itu berlaku semasa pasukan operasi menjalankan rondaan bergerak di perairan Laut Alice Channel, sebelum menahan sebuah perahu tanpa nombor pendaftaran berwarna coklat berlegar di kawasan berkenaan.
“Setelah pemeriksaan dilakukan didapati terdapat tiga orang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa serta dua orang kanak-kanak lelaki dipercayai berbangsa bajau Filipina”
“Mereka turut tidak mempunyai sebarang pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan Malaysia. Bot tersebut kemudiannya di usir keluar setelah diiring sehingga keluar dari perairan negara”
“Tindakan ini selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak Covid 19 di Sabah, Semporna khususnya”
Justeru itu, Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang melalui aplikasi WhatsApp di talian 0139391197 atau boleh berhubung di talian 24 jam Gerakan Komunikasi PPM Sabah, bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.